Sudah hampir masuk 11 bulan ibu di Turki, banyak perkara kami kongsikan bersama. Ada waktunya berjam-jam kami bercakap. Ada kalanya waktu saya sibuk, sekejap saja dapat berbicara dengannya.

Tahun ini dengan izin Allah, ibu dapat berpuasa dan menyambut Aidilfitri di sini. Dan insya-Allah beberapa hari lagi akan menyambut Aidiladha bersama.

Kebiasaannya pada setiap tahun, saya akan menyertai korban yang dianjurkan di luar negara, dan selalunya saya akan mengajak ibu turut serta.

4 tahun lepas, pada 2016 ibu datang ke Turki pada waktu hampir Aidiladha. Keluarga mentua biasanya korban biri-biri. Tahun itu, keluarga mentua, saya dan suami juga ibu saya diizin Allah menumbangkan korban masing-masing. Oh banyak halangan tahun itu dalam usaha mencari biri-biri yang rata-rata sudah ‘sold-out’, dan kemudian wang pula tidak boleh dikeluarkan dari Malaysia kerana waktu cuti transaksi disekat masa itu. Namun alhamdulillah, hendak seribu daya. Niat kami Allah makbulkan dan korban selamat dilaksanakan. Dan dagingnya dapat diagih-agihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

Itulah tahun pertama ibu berkorban di Turki. Tahun ini sekali lagi insya-Allah. Kali ini kami sudah mencari biri-biri sejak awal. Seronoknya berkorban di sini kerana biasanya suami saya yang sembelih sendiri, menyelesaikan kulit/bulunya, perut dan segalanya. Dan bahagian melapah, saya, ibu mentua dan adik ipar akan turut serta.

Sejak saya pindah di Turki 10 tahun lepas, mengurus biri-biri beberapa ekor tidaklah sesukar mana. Orang lelaki sembelih dan bersihkan kulit/bulu dan perutnya, selainnya itu kerja orang perempuan. Tak perlu ramai-ramai, kerana di sini boleh dikata setiap keluarga akan berkorban dan masing-masing perlu menyelesaikan daging korban masing-masing.

Sejak seminggu ini, dalam panas menjahang, ramai pakcik-pakcik duduk di bawah teduhan payung besar menyediakan khidmat mengasah pisau. Ada mesin pengasah bersamanya, sekejap saja pisau diasah menjadi sangat tajam. Dan dalam beberapa hari ini nanti, pasti akan banyak keluar berita orang-orang yang menyembelih atau melapah daging akan dikejarkan ke hospital kerana terpotong tangan sendiri. Sungguh, ini memang ‘legend’ dalam masyarakat Turki. Jika kita di Malaysia ada cerita budak main mercun meletup dan cedera, hah, di sini pula orang cedera kena pisau.

Dan biasanya, pada hari-hari Aidiladha, sana sini akan kelihatan ditampal kertas menyediakan khidmat mengisar daging. Untuk mereka yang ada daging korban dan perlu dijadikan ‘kıyma’ (daging kisar), boleh hantar ke tempat-tempat tersebut.

Ertuğrul sudah pesan saya untuk sediakan sambal udang dan ketupat pada pagi hari raya nanti. Udangnya dia mahu sponsor katanya. Aduhai anak Turki-Melayu… di bumi Turki ini sambal dan ketupat juga yang dipintanya!

Kepada semua, selamat menyambut Hari Raya Korban. Hayati dan maknakanlah hari-hari yang sangat barakah ini dengan sebaik-baiknya. Raikanlah mengikut suruhan Allah dan bertakbirlah atas nama-Nya yang Maha Besar. Semoga hati-hati kita semua dikurniakan cahaya oleh-Nya, yang memandu kita ke jalan yang diredhai Dia.

Oh dan, jangan lupa menjaga keselamatan diri dan mengikut saranan kerajaan untuk mengelakkan Covid19.

Salam Aidiladha buat semua.
Semoga Allah ampuni dan padam dosa-dosa kita hendaknya 🌹

Salam sayang dan hormat dari kejauhan!

Ayza Gürsoy | Türkiye
Suka Raya Haji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *