Jurnal Kehidupan

Catatan FB 2 Disember 2020

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah setahun lebih di sini, namun ibu adakalanya masih segan untuk beberapa perkara. Sayang ibuku. Kalau tidak dipaksa dek cucu-cucu ke ruang tamu, bertahanlah dia menonton berita atau ceramah menerusi skrin komputer. Adakala Ertugrul memaut dan mengangkat ibu dari kedua-dua celah tangannya manakala Ismail mengangkat kedua-dua kakinya untuk memastikan ibu datang ke dapur. Menjerit ibu ketawa gelihati cucu-cucunya mengangkat dirinya ke dapur.

“Haa.. sampai pun ke dapur. Nanti lepas makan kita orang angkat nenek ke bilik semula tau!”

Berderai kami ketawa.

Selama setahun lebih juga ibu di sini, dia tidak memasak. Saya mahu ibu rasa betul-betul lapang dan bebas dari aktiviti memasak selama dia di sini.

“Mak nak masak?” soal saya suatu hari.

“Tak nak. Apa kau masak, Mak makan.”

“Ayam makan? Daging makan? Buat sup ayam, mahu?” saya mengusiknya.

“Tak nakkk…”

“Mak nak masak?” soal saya lagi. Mengujinya.

“Tak mahu. Tak kuasa aku!”

Hahaha. Mak, mak… tahun lepas pun semasa saya pulang bercuti di Malaysia, saya tak minta ibu memasakkan saya. Selagi boleh saya menyediakan makanan saya sendiri. Di sini juga sama. Tidak sanggup hendak ‘makan’ kudrat ibu, meski saya rindu sekali masakannya. Cukuplah selama membesarkan saya ibu memasak segala makanan. Biar kali ini ibu berehat daripada memasak dan daripada sebarang tugasan suri rumah.

Selera ibu berubah-ubah. Asam pedas tidak lagi disukainya. Jika dibubuhkan nasi bersama asam pedas, kuahnya saja yang dimakan bersama nasi. Sambal udang pun kini tidak disukainya. Alasannya gatal. Nanti dia alahan. Saya gorengkan sotong, pun tak suka juga. Alasannya gatal dan sotong susah mahu dikunyah. Lantas saya potongkan nipis-nipis.

“Hmmm, tak suka sotong lagi lah Zah!”

Allah, Allah! Bukankah sotong dan udang kesukaan ibu? Mak…mak…

Suatu hari saya memasak Turkish Pilavı dan kupang. Alhamdulillah, ibu makan berselera sekali. Sejak itu kupang memang saya pastikan sentiasa stoknya ada di dalam peti sejuk. Nasi putih biasa pun ibu kurang makan sekarang. Lebih suka Turkish pilaf.

“Penat kau ya nak? Penat kau melayan Mak…” ucap ibu suatu hari, memeluk saya sebaik saya hantarkan makanan di biliknya. Dahi saya diciumnya.

Saya memeluknya erat. Tidak penat ibuku sayang. Tidak akan pernah menyamai kepenatan ibu mengandungkan saya, melahirkan dan membesarkan saya. Bayangnya pun tak akan sama. Pengorbanan ibu takkan pernah dapat dibalas.

Beberapa hari lepas, memandangkan sukar benar ibu hendak ke ruang tamu, kami menawarkan untuk membelikan televisyen untuk diletak di biliknya.

Ceria wajah ibu saya.

“Tapi tak mahu besar-besar,” pintanya.

“Kita beli comel-comel ya Mak?”

“Nakk.. tapi, Mak nak kongsi. Tak kongsi aku tak nak,” balas ibu.

“Pulakkkk… takde kongsi-kongsi. Kami belikan untuk Mak.”

“Kalau macam tu aku tak nak tengok TV tu… kita kongsi ya?”

“Tak yahhh…” jawab saya.

“Takde sungguh aku taknak tengok.”

“Nenek taknak tengok, kita orang angkat nenek bawa ke depan nakkkk?” sakat cucu-cucunya.

Ketawa besar ibu saya. Kami semua ketawa. Kasihan ibu. Dia sudah merindui rumahnya di Melaka. Tetapi disebabkan Covid19 ini, rancangan untuk pulang tergendala. Saya pula, selagi lama ibu dapat tinggal di sini, selagi itu saya rasa gembira.

Di usia ibu menganjak 79 tahun tidak lama lagi, ibu sangat ‘fragile’ jiwanya. Perasaannya halus dan mudah tersentuh. Saya berdoa saban waktu, agar janganlah saya melukai hatinya – sengaja mahu pun tidak. Allah tolonglah saya agar ibu saya selesa selama dia di sini. Suami dan anak-anak juga saya pesan agar kita sama-sama menjaga keharmonian untuk kebaikan bersama.

TV sudah dipasang. Ibu gembira sekali. Alhamdulillah. Dan hari ini saya masakkan ibu nasi Arab. Tinggal sedikit lagi untuk masak sepenuhnya..

Terima kasih Ya Allah kerana mengizinkan aku bersama ibu syurga hatiku di sini.

Sayangi, cintai dan hargai ibu kita selagi kita hidup. Santuni dia semampu yang boleh. Jaga hatinya. Jaga tutur kata kita.

Oh, mahu pergi siapkan sos tomato. Nasi pun sudah hampir masak.

Salam kasih dari kejauhan buat semua!
Ayza Gürsoy | Türkiye
Anak emak.

Leave a Reply