Uncategorized

C19 dan Kuarantin?

Saya mendapat perkhabaran, ada pelawat bakal datang dari negara jauh. Pelawat ingin ke rumah kami, bermalam untuk beberapa malam, dan saya tidak dikhabarkan dengan lengkap tentang hal itu. Saya juga kurang pasti, adakah saya tuan rumah atau pelawat itu yang tuan rumah – oh, memang sesuatu yang sedikit tragis tetapi mengesankan.

Saya berpendapat, berdasarkan apa yang saya faham dan terkesan dengan segala maklumat berkenaan C19 ini, pelawat itu harus dikuarantin – meski, ya meski – negara Turki yang saya cintai ini tidak mewajibkan untuk mana-mana pelawatnya untuk kuarantin mandatori, tetapi tetap saja wajib self quarantine.

Saya diperingatkan berkali-kali oleh pelawat, bahawa negara Turki (sekali lagi saya tegaskan – yang saya cintai ini) tidak mewajibkannya. Dan saya seperti gugup hendak meluahkannya sekali lagi. Ah masak, saya sendiri kaget meyakinkan diri bahawa saya yang tuan rumah atau pelawat itu tuan rumah!

Manusia memang suka disakiti, atau memang suka memaksa orang menyakiti, atau bagaimana, saya tidak begitu pasti. Berbalik kepada kisah saya ini, kisah tentang pelawat yang bakal datang dari negara jauh dan enggan menerima kenyataan saya bahawa dia perlu dikuarantin di suatu tempat yang berasingan – tidaklah saya tahu bagaimana hendak saya perjelaskan dengan lebih mendalam terhadapnya. Saya tidak tahu adakah memang kewajipan tuan rumah menjadi orang luar setiap kali menerima tetamu, adakah kita mesti menjadi orang yang tidak berpengetahuan, atau perlu mengiyakan apa sahaja daripada mereka yang bergelar tetamu?

Ya Tuhan, ampunilah saya. Saya hanya menegaskan akan apa yang saya faham. Yang saya tahu. Bahawa nyawa itu milik Tuhan dan wajiblah manusia berhati-hati menjaga agar nyawa tidak tersia hanya dengan kebodohan dan ketidak-tanggungjawaban (adakah perkataan ini?).

Saya fikir, ini adalah pengetahuan am. Dan amnya memberi maksud setiap orang sudah tahu akan perihal ini, dan setiap kita wajib bertanggungjawab untuk berhati-hati, tidak menyambungkan rantaian virus setelah terbang berjam-jam merentas negara-negara yang jauh, bertemu dengan lautan manusia yang entah dari mana latar belakangnya. Saya fikir, setiap orang – termasuk diri sendiri harus begitu teliti akan hal ini.

Atau, salahkah saya untuk berhati-hati, sekurang-kurangnya untuk keselamatan diri, suami dan anak-anak saya, juga buat orang-orang di sekitar saya – ? Adakah virus boleh memilih siapa yang boleh dan tidak diserang? Atau saya memang paranoid? -kah?

Akhirnya, saya kekal mendiamkan diri. Tidaklah lagi saya mengulas panjang, dan tidaklah saya berkata apa-apa lagi tentang itu.

Dan saya tidaklah lagi ketahui apa penghujung ceritanya. Allah jualah yang Maha Mengetahui sedang saya tidak mengetahui.

Semoga Tuhan mentakdirkan yang baik-baik.

-Ayza G. / Türkiye

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *